Friday 27 February 2015

Karangan Syarahan : Hari Guru

8
  Yang Dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Guru Besar SK Kerteh, Yang Dihormati guru-guru SK Kerteh dan rakan-rakan sekalian. Pertama sekali saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang berucap pada hari ini. Saya juga berasa terharu dan gembira kerana dapat mewakili rakan-rakan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru semua.

Guru-guru yang disayangi serta rakan-rakan,
  Pada 16 Mei setiap tahun, kita akan meraikan Hari Guru di seluruh negara. Hari ini merupakan hari yang penting bagi murid-murid dan guru-guru. Hari ini disambut menunjukkan penghargaan kepada guru atas jasa mereka selama ini.

  Guru ibarat sebatang lilin yang menerangi hidup kita. Guru sanggup berkorban untuk memastikan anak murid mendapat ilmu pengetahuan. Guru juga berusaha tanpa mengira penat atau jemu demi kejayaan anak murid mereka.

Guru-guru yang dihormati,
  Saya mewakili rakan-rakan berjanji akan mengenang jasa guru bukan sahaja pada Hari Guru. Jasa guru dan pengorbanan guru sedari kami dari Tahun 1 lagi wajar dikenang sehingga ke alam dewasa. Ini kerana gurulah orang yang pertama mendidik murid membaca, menulis serta mengira.

  Saya mewakili rakan-rakan juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesalahan dan keterlanjuran sehingga mengguris hati guru. Kami berharap guru-guru tidak patah semangat menghadapi karenah kami sepanjang menjadi warga SK Kerteh.

Rakan-rakan sekalian,
  Sevagai membalas jasa guru, marilah kita berjanji untuk menjadi murid yang berakhlak mulia dan akan berusaha sehingga berjaya. Oleh itu sebagai langkah pertama, marilah kita belajar dengan tekun dan menjaga disiplin diri serta nama baik sekolah.

Guru-guru dan rakan-rakan
  Saya selaku Ketua Murid SK Kerteh mewakili murid-murid SK Kerteh ingin mengucapkan selamat Hari Guru untuk guru semua. Kami murid SK Kerteh sentiasa mendoakan kesejahteraan guru. Terima kasih kerana sudi mendidik dan membimbing kami.

  Sekian, terima kasih.

Baca Karangan »

Sunday 22 February 2015

Karangan Laporan : Hari Kantin

54
  Pada 3 Februari 2015 yang lepas, SK Kerteh telah mengadakan Hari Kantin kali ke 20. Hari Kantin tersebut diadakan di kawasan sekolah dan dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman.

  Tujuan diadakan Hari Kantin ialah untuk mengumpul dana. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membaiki kemudahan sekolah seperti tandas, surau dan kelengkapan sukan. Hari Kantin juga bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang berniaga dengan cara yang betul.

  Persiapan telah mula dilakukan beberapa hari sebelum Hari Kantin diadakan. Guru-guru, murid-murid serta ibu bapa bekerjasama membantu menghias gerai jualan. Pihak sekolah juga memasang khemah yang dilengkapi meja dan kerusi.

  Aktiviti Hari Kantin dimulakan dengan perasmian pada jam 8:00 pagi. Selepas tamat upacara perasmian, gerai jualan mula dibuka. Pembeli boleh membeli dengan menggunakan kupon yang dijual oleh Pihak Urusetia Hari Kantin.

  Terdapat lebih kurang 30 gerai yang dibuka pada Hari Kantin. Pelbagai jenis makanan, minuman, buku, mainan, alat tulis dan lain-lain. Klinik Kesihatan, Bomba serta polis turut mengadakan pameran. Aktiviti lain yang diadakan termasuklah kuiz, pertandingan menyanyi, cabutan bertuah dan pertunjukan silap mata.

  Sambutan yang diterima daripada ibu bapa serta penduduk sekitar amat memberangsangkan. Mereka mula memenuhi kawasan sekolah seawal jam 8 pagi sehingga tamat Hari Kantin. Kebanyakan gerai berjaya menghabiskan barangan jualan mereka.

  Hari Kantin tamat pada jam 12:30 tengahari. Sebelum bersurai murid-murid dan guru-guru serta ibu bapa bergotong royong membersihkan kawasan sekolah.


Baca Karangan »

Saturday 21 February 2015

Karangan Keperihalan : Cara Menjaga Buku Teks

14
Soalan : Kamu baru sahaja menerima pinjaman buku teks sekolah.
Tulis sebuah karangan tentang cara-cara yang kamu lakukan untuk menjaga buku tersebut.

  Buku teks merupakan salah satu pemberian kerajaan, khas untuk murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Bejuta-juta ringgit dibelanjakan untuk membuat buku teks serta meningkatkan mutu pendidikan negara. Menjadi tanggungjawab setiap murid untuk menjaga buku teks ini.

  Antara cara menjaga buku teks ialah dengan membalutnya. Jika buku teks dibalut, buku teks tidak akan terkoyak dan kotor. Buku teks juga tidak mudah basah jika terkena air kerana dibalut dengan plastik.

  Kita perlu menjaga keselamatan buku teks supaya ia tidak hilang. Contohnya seperti menulis nama di ruangan yang disediakan di belakang buku teks. Jika buku teks kita hilang, proses mencari buku teks kita akan menjadi mudah kerana nama kita ditulis di buku teks yang hilang..

  Kita hendaklah memastikan buku teks kita tidak diconteng atau rosak. Ini kerana buku teks ini akan digunakan oleh murid lain pada tahun hadapan. Jika buku kita rosak atau diconteng, ia akan menyukarkan murid lain yang menggunakan buku teks kita.

  Buku teks mestilah dijaga seperti hak milik kita. Buku teks tidak boleh ditinggalkan di merata-rata tempat seperti dibawah meja dan didalam kelas. Jika buku teks kita hilang, kita mesti menggantikanya dengan buku teks yang lain.

  Jagalah buku teks kita supaya ia boleh digunakan oleh murid lain pada masa hadapan. Jika buku teks kita hilang, gantilah buku itu dengan segera supaya murid lain boleh menggunakan buku teks kita.

   



Baca Karangan »